Masih ada yang sayang
Pernah merasakan ujian yang dihadapi berat sangat, sehingga merasakan orang lain tidak merasakan sepertimana kita rasa. Hakikatnya, orang lain ada yang menanggung ujian yang lebih lagi, namun mereka masih boleh tersenyum.

Kehidupan di hospital, banyak mengajar akan erti kesabaran. Semalam, berjumpa dengan seorang kakak, yang sering ulang alik masuk wad disebabkan anaknya mengalami penyakit misteri, penyakit yang tidak dapat disahkan oleh doktor.

Dengan muka tersenyum, dia masih boleh menceritakan keadaan anaknya, dan dia menerima kehendak takdir yang menentukan kehidupan anaknya sebegitu rupa. Anaknya boleh dikategori dalam golongan kurang upaya, hanya terlantar tanpa boleh bercakap-cakap dan sentiasa diawasi setiap masa.

Paling menyedihkan dia mengatakan, dia surirumah sepenuh masa dan suaminya hanyalah seorang jaga, disebabkan anaknya sebegitu keluarga suaminya tidak mengaku akan wujudnya anak itu dalam keluarga suaminya. Mereka membesarkan anak itu tanpa ada saudara mara.

Setelah saya mendengar cerita tersebut, saya terfikir, masih ada orang yang menanggung ujian yang berat lagi daripada apa yang saya hadapi. Saya meluahkan simpati terhadapnya dan bersyukur akan apa yang saya hadapi sekarang.

Dan, saya bersyukur, saya masih ada keluarga yang masih sayang kepada kami anak beranak. Syukur alhamdulillah.

-
Di balik awan, berterbangan bebas
Sabar, satu perkataan yang mudah diucap tetapi susah untuk mengawalnya apabila sampai masa yang perlu untuk menggunakannya.

Kehidupan sesungguhnya, meletihkan dan memenatkan. Sedikit ketawa, banyak berduka. Begitulah apa yang dirasa. Terasa begitu malu untuk meminta pertolongan, sabar sehabis sabar untuk mengelak daripada meminta pertolongan dari sesiapa.

Muka yang ceria, menyelindungi banyak kedukaan, kerisauan, keperitan dan kepenatan. Dan, sabar perlu ada di situ. Kadang-kadang sabar itu hilang entah ke mana.

Sekarang bagaikan tiada perasaan. Bagaikan hidup meneruskan apa yang telah ada, mengikut sahaja ke mana angin meniup, terbang hanya mengikut ke arah mana angin bertiup.

Cuma, untuk menyedapkan hati. Ada orang lebih susah dari diri ini, bersyukurlah dengan apa yang ada dan telah berlaku.

Ingin berada di balik awan, tiada siapa yang mengganggu.

-
Pelangi bukan senantiasa ada
Kita selalu mengharapkan kebahagiaan yang berpanjangan tanpa ada sebarang dugaan, namun ia hanya satu fantasi, kebahagiaan berpanjangan tidak akan diperolehi semasa di dunia ini, hanya di akhirat kelak kebahagian yang berpanjangan.

Pernahkah anda mengalami masalah? dan mengharapkan bila memejam mata, dan mengira satu, dua, tiga sehingga sepuluh, masalah itu selesai dan kebahagiaan menjelma? Pernahkah? Jika pernah, samalah dengan saya.

Pernah dengar lagu Wonderful dari band Everclear? Jika belum, sila dengarkan:



Antara liriknya :

"I close my eyes and I count to ten, Hope its over when I open them"

-
Manis dan pahit dalam politik
Sekian lama berada di dalam dunia politik, baru dapat merasa bagaimana rasanya, pahit dan manis dalam politik. Andai kata, jika tidak terikat dengan Islam, sudah lama saya meninggalkan dunia politik ini.

Sirah telah membuktikan bahawa dengan Kerajaan Islam lah Nabi Muhammad saw memperluaskan dakwahnya dengan bermulanya mendirikan sebuah negara Islam di Madinah.

Dahulu, sering terjerat dengan politik sempit, perbalahan sesama sendiri. Sekarang, melangkah terus ke hadapan, meninggalkan politik sempit, buat kerja dan terus buat kerja tanpa pedulikan kemuncup yang mengganggu.

Dengan azam, jangan disebabkan kecuaian kita, jemaah menjadi masalah. Terus berlari dan berlari untuk membuat kebaikan.

-
Antara senang dan susah
Pernahkah anda merasai hidup yang susah? Jika pernah, anda mesti dapat merasai, bagaimana susahnya menjadi orang susah. Oleh itu, apabila ada orang susah sesudah anda senang, bantulah mereka. Jangan biarkan ada orang susah sesudah anda senang.

Cara bersyukur apabila Tuhan memberi kita kesenangan ialah membelanjakan sebahagian harta untuk kebajikan. InsyAllah, semoga hidup kita senantiasa dirahmati dan diberkatiNya.

Jangan jadi hamba wang, jadilah hamba Tuhan.
Jadikan esok sebagai terbaik
Memang benar, tidak menjadikan awal Muharram bukan amalan sunnah. Namun, apabila diberi pilihan kepada saya, yang mana yang perlu saya sambut, awal Muharram atau awal Masehi?

Saya pasti menjawab, saya wajib memilih awal Muharram, ia bererti tiada akan ada sebarang ucapan daripada saya kepada anda sama ada, "Selamat Menyambut Tahun Baru" ataupun "Happy New Year".

Apa-apapun, jadikan hari ini dan hari esok sebagai terbaik dalam kehidupan.
Kelembutan Hati Sang Khalifah (Umar R. anhu)
Sudahkah anda menonton animasi Kelembutan Hati Sang Khalifah (Umar R. anhu)? Satu animasi yang diterbitkan di Indonesia, bahasa yang digunakan, melayu Indonesia.

Kualiti animasi mungkin tidak sehebat Upin dan Ipin, yang menggunakan teknologi 3D, namun, animasi ini mengikut sirah Umar ia menjadikan animasi ini begitu hebat pada pandangan saya.

Animasi ini sesuai untuk ditayang kepada anak-anak, untuk memperkenalkan kehebatan pimpinan Islam masa lampau, yang mungkin telah dilupakan dan juga merupakan salah seorang sahabat Rasulullah.

Hati ini begitu sebak apabila mendengar rengekan kedua anak kecil yang kelaparan dan begitu bahagia mendengar tawa anak kecil bila kekenyangan.

Ajarlah anak tentang Rasulullah dan perkenalkan kepadanya sahabat-sahabat yang boleh menjadi pedoman dan bersama-sama mengembalikan kegemilangan Islam sewaktu Rasulullah ada serta zaman 5 Khalifah ar Rasyidin.

Ajarilah anak, Islamlah yang tertinggi dan tiada yang tertinggi melainkan Islam. Merasa hebat apabila bersama Islam.

Kegemilangan Islam yang lampau harus dikembalikan. InsyAllah.

Image Hosted by ImageShack.us

Kredit : http://jiwang.cc
Berlari dan terus berlari menuju impian
Banyak terluka daripada bergembira, lepas satu babak ke satu babak, yang amat memeritkan, nak ditelan mati ayah, nak diluah mati emak, begitulah keadaan yang berlaku pada masa sekarang.

Namun, itulah nikmat dalam perjuangan, mahu tidak mahu, hidup mesti diteruskan, dan prinsip harus dijaga serta perjuangan akan tetap diteruskan.

Sahabat saya, ketika di kampus, pernah berkata,

"Islam tidak mahu kepada kita, kita yang mahukan Islam, jika kita lari daripada Islam, Islam tidak sedikit pun rugi, yang rugi hanyalah diri kita"

Itulah kata-kata yang teriang-iang di telinga ini, merasa diri ini cukup kecil di banding ahli-ahli yang lain.
Kemuncup Dalam Perjuangan
Persepsi, apabila merujuk ke Kamus DBP ia membawa makna -
(persépsi) gambaran atau bayangan dlm hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera), tanggapan: kekuatan imaginasi, kepekaan dan ~nya terhadap alam dan kehidupan memberikan gaya dan pengucapan yg khusus pd karya-karyanya;
Saya pernah mengikuti satu tamrin,

Modul tamrin tersebut adalah bermain bola di padang rumput yang dipenuhi kemuncup, kami peserta tamrin mulakan permainan bola, ada yang bermain bola sekejap dan berhenti untuk mencabut kemuncup yang ada. Dan, ada juga yang tidak menghiraukan kemuncup, terus bermain bola dengan asyik.

Selesai sahaja bermain bola, Murabbi kami bertanya, apakah pelajaran yang kamu dapati dari modul ini?

Disebabkan keletihan bermain, kami tidak dapat memikirkannya, cuma di dalam kepala kami hanya ada perkataan "sihat".

Murabbi kami menjawab,

Dalam jemaah kita, sudah ada haluan dan arah tuju yang perlu dicapai, jika kita menghiraukan gangguan sepertimana kamu mencabut kemuncup, kamu akan memperlambatkan perjalanan untuk menuju ke arah sasaran sebenarnya. Sasaran sebenar adalah gol, namun jika kamu menghiraukan kemuncup yang ada, pencarian gol kamu akan terganggu.

PAS, ia sudah berada dilandasan yang benar dan setiap kali bermuktamar ia akan membawa agenda-agenda yang perlu dicapai dalam masa tertentu.

Apabila pandangan orang luar diambil kira secara serius dan hampir-hampir membuat jemaah bergolak, ia adalah perkara yang mungkin ahli jemaah terlepas pandang. Adakalanya kita suka melihat sesama kita berbalah sesama sendiri daripada perpaduan.

Walaupun ada yang terluka pada peristiwa yang lepas, jangan putus asa dalam kerja Islam ini, kalau tinggalkan kerja ini bukan Islam yang rugi, kita sendiri yang rugi.

Jangan Hirau Kemuncup di Jalanan.

-
  • ڤسانن

    ڤرهاتين:
    ساي هاڽ برتڠݢوڠجواب ڤد ارتيکل يڠ ساي توليس سهاج. ساي تيدق اکن برتڠݢوڠجواب اکن سݢالا کومينتر يڠ اد ڤد ارتيکل. - هارڤ معلوم.

    *سݢالا ارتيکل، ݢمبر، ڤوستر دان اڤا٢ سهاج بوليه دأمبيل تنڤا ممينتا کبنرن. اي ميليق کيت برسام.


    ايميل: tokselampit@ymail.com

    "Kebijaksanaan adalah seperti barang tercicir bagi umat Islam, lalu di mana muslim menjumpai kebijaksanaan, maka mereka yang paling layak untuk mengambilnya"

    ڤاڤرن ترباءيق

    Image Hosted by ImageShack.us

    کوتق جريت


    ShoutMix chat widget

    ايکوت?

    لالو لينتس