Adakah Nik Abduh Seberani Abdul Malik?
Sejak munculnya perkataan "Boneka UMNO" daripada ayahanda Ustaz Nik Abduh, saya tertunggu-tunggu artikel terbaru daripada beliau, sama ada ingin menegur atau mempertahankan ayahandanya.

Saya masih lagi menunggu sentuhan berbisa daripada beliau, sepertimana beliau telah nukilkan sehingga menjadi penyebab, mengapa beliau kalah semasa pemilihan Ketua Pemuda Kelantan yang lepas iaitu:

1- kerja – kerja bodoh dalam pas
2- kerja – kerja bodoh dalam pas 2

Bukannya ingin mengetahui cerita rumahtangga orang, akan tetapi ingin mendapat sedikit penjelasan, semoga api yang semakin bersemarak dalam diri ini, dapat dikecilkan sedikit. Api tersebut telah dihidupkan dengan perkataan "Boneka UMNO".

Adakah anda kenal dengan Abdul Malik?

Jika tidak, sila baca cerita yang saya ceritakan di bawah.

"Siapa yang menjaminmu hidup sampai selepas zuhur?" Pertanyaan itu terlontar daripada mulut seseorang pemuda kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz, tokoh pemimpin yang bergelar khulafa' ar rasyidin kelima. Ketika itu, khalifah yang terkenal dengan keadilannya itu sangat tersentak dengan perkataan si pemuda. Apatah lagi pada ketika itu, dia sedang merebahkan dirinya beristirehat selepas selesai mengebumikan khalifah sebelumnya, Sulaiman bin Malik.

Tetapi baru sahaja di merebahkan badannya, seorang pemuda berusia 17 tahun datang menghampirinya dan mengatakan,"Apa yang tuan lakukan wahai Amirul Mukminin?" Khalifah Umar menjawab, "Biarkan saya tidur sejenak. Saya sangat letih dan penat sehingga hampir tiada kekuatan yang tersisa."

Namun pemuda itu kelihatan tidak puas dengan jawapan tersebut. Dia bertanya lagi, "Apakah tuan akan tidur sebelum mengembalikan barang yang diambil secara paksa kepada pemiliknya, wahai Amirul Mukminin?".

Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengatakan, "Jika tiba waktu zuhur, saya bersama orang-orang saya akan mengembalikan barang-barang tersebut kepada pemiliknya." Jawapan itulah kemudian ditanggapi oleh si pemuda, "Siapa yang menjaminmu hidup sampai selepas waktu zuhur, wahai Amirul Mukminin?".

Pemuda itu bernama Abdul Malik. Dia adalah putera Amirul Mukminin sendiri, Umar bin Abdul Aziz. Semoga Allah merahmati kedua-duanya.

Tamat cerita.

Kembali kepada Ustaz Nik Abduh, sepertimana ucapan penaguhannya di muktamar Pemuda Kelantan, beliau banyak mempertahankan Presiden. Sudah pasti, hal telah berlaku sekarang, beliau amat-amatlah memahaminya.

Pinta saya kepada insan terhampir dengan Tok Guru Nik Aziz ini, supaya, pinta ayahanda supaya kaji kembali perkataan "Boneka UMNO" ini, kerana ia telah mengheret orang-orang lain untuk membenci Tuan Guru Presiden, contohnya Ketua Kelab Penyokong PAS Kelantan, jelas melarang dan memperlekeh idea Kerajaan Perpaduan, sehingga melarang TGHH ke Manek Urai.

Jika Tok Guru Nik Aziz merasakan dirinya sudah tersilap cakap, tersalah memberi gelaran wajar beliau perbetulkan kembali.

Kerana,

Tiada siapa yang menjamin beliau hidup selepas waktu subuh pagi esok.

Tidak perlu Ustaz Nik Abduh membuat artikel, cukup sekadar berdiskusi dengan ayahanda anda. Tanda kasih dan tanda sayang, kita menegur.

Sekian.
0 Responses