PAS Wilayah Persekutuan masih belum matang
Jika benarlah laporan di Malaysiakini, saya boleh melihat sejauhmana pemikiran PAS Wilayah Persekutuan, masih lagi ketinggalan dan masih lagi tidak 'kuat'.

Kenapa tidak matang?

Saya berkata PAS Wilayah Persekutuan tidak matang bukan kerana tidak mencalonkan Tuan Guru Haji Hadi, dan bukannya kerana PAS Wilayah Persekutuan mencalon Tuan Guru Nik Aziz untuk jawatan Presiden. Anda berhak untuk mencalon sesiapa sahaja untuk menjadi Presiden, Hussam Musa sekalipun jika anda mahu.

Saya berkata, anda tidak matang, kerana, mengikut laporan Malaysiakini,

"Mengenai hasrat PAS Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan presiden, sseorang pemimpinnya berkata, pihak mahu menjadi "pencetus" kerana terdapat banyak lagi kawasan yang mempunyai hasrat yang sama, tetapi masih "berdiam diri".

Menurutnya, isu "kerajaan campuran Abdul Hadi" merupakan salah satu sebab menteri besar Kelantan itu, diramal meraih populariti untuk dicalonkan bagi jawatan presiden.

nik azizMenurutnya lagi, hasrat untuk mencalonkan mursyidul am PAS itu juga pertimbangan berdasarkan prestasi tokoh berkenaan.

"Oleh sebab itu, kita tidak mencalonkan (timbalan presiden) Nasharuddin Md Isa (untuk mengekalkan jawatan) kerana dilihat kurang turun berceramah.

"Kami mahu kempimpinan yang tegas. Nik Aziz walaupun lembut, beliau tegas dan tetap pendirian. Mohamad Sabu pula tegas-kasar. Ini adalah gandingan yang mantap," kata pemimpin berkenaan."




Secara asasnya, anda tidak mahu mencalonkan Tuan Guru Haji Hadi hanya disebabkan, "kerajaan campuran Abdul Hadi".

Saya tertawa dengan sifat yang tidak matang yang ada pada anda, PAS WP. Ini menunjukkan, PAS Wilayah Persekutuan,

1) Tidak mengkaji keseluruhan tentang apa itu "Kerajaan campuran Abdul Hadi".

2) Hanya mendengar cakap-cakap orang bahawa Haji Hadi tidak mahu mempertahankan keputusan muktamar, tanpa diselidik, bahagian mana yang tidak mempertahankan keputusan muktamar.

3) Tidak pernah bertanya kepada Tuan Guru Nik Aziz akan hal "Kerajaan Campuran" tersebut setelah Tuan Guru Haji Hadi memberi penjelasan kepada beliau secara tertutup, bersama dengan DSAI.

4) Anda terkesan dengan isu yang dibawakan oleh Media Barisan Nasional untuk melaga-lagakan pimpinan PAS.

Secara kasar, saya dapat merumuskan bahawa,

1) Keahlian PAS Wilayah Perseketuan kebanyakkannya bekas UMNO, yang mana, tidak mahu mendengar perkataan 'kerjasama dengan UMNO' setelah masuk PAS atas alasan,

"Aku hilang projek, hilang sumber wang, meludah pimpinan UMNO, mencaci UMNO, dan bila masuk PAS ada pula nak kerjasama dengan UMNO, haih!"

Mungkin itu bekasan UMNO rasakan apabila ada pimpinan PAS mengemukakan cadangan untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO. Dan, seterusnya, mengemukakan cadangan untuk menolak pimpinan PAS yang mencadangkan "kerajaan campuran mahupun muzakarah". Menolak secara membuta tuli dan bersifatkan untuk memburukkan pimpinan PAS.

2) PAS Wilayah Persekutuan perlu periksa kembali kefahaman ahli mereka tentang jemaah islam, mengenai dasar-dasarnya dan seterusnya tanggungjawab yang perlu ahli lakukan. Dari sudut tarbiyyah pun, mungkin perlu diperiksa, kerana dapat dilihat, ketaksuban telah menjelma.

Cadangan saya pada muktamar nanti,

1) Tuan Guru Nik Aziz harus perbetulkan apa yang dia rasa perlu, telah ada penjelasan "muzakarah & kerajaan perpaduan". Beliau telah faham, dan beliau wajib memahamkan kepada semua ahli, bukan tujuan untuk membuka kembali perbincangan akan tetapi untuk membetulkan keadaan.

2) Dan, kepada sesiapa sahaja yang telah melakukan pembelitan & penyembunyian fakta wajib memperbetulkan pada hari muktmar nanti, jika anda benar-benar ikhlas berjuang di dalam PAS.

Usahlah menjadi ulama' su' - menyembunyikan kebenaran yang kita ketahui daripada pengetahuan orang ramai.

Salam perjuangan untuk semua.

PAS For ALL


Artikel ini juga patut dibaca -

Unity Government - Satu Cita-cita, Satu Malaysia

Nota Tambahan

PAS Wilayah telah menjawab segala hubungkait dengan hal "PAS Wilayah Tolak Haji Hadi", sila ikuti artikelnya, saya lampirkan di bahagian komentar.
1 Response
  1. Tok Selampit Says:

    PAS Wilayah Tidak Tolak Hadi! Kenyataan Penuh SU PAS Wilayah

    Saya selaku Setiausaha Badan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan kecewa dengan tindakan wartawan Malaysiakini, Jimadie Shah Othman dalam artikelnya yang bertajuk “PAS Wilayah tolak Hadi?” yang mana beberapa kenyataan saya turut digunakan disitu dan dimanipulasikan dengan niat yang subjudis terhadap proses pemilihan kepimpinan parti peringkat Wilayah Persekutuan.

    Adalah dengan ini saya meminta agar pihak Malaysiakini tidak membuat spekulasi melampau terhadap keputusan mesyuarat agung peringkat kawasan di Wilayah Persekutuan.

    Saya tidak menafikan bahawa sehingga kini sebanyak 9 kawasan telah mengadakan mesyuarat agung. Mengikut tradisinya, kebiasaanya Perwakilan mesyuarat agung kawasan akan menyerahkan mandat bagi membuat pencalonan untuk Jawatan Peringkat Pas Pusat kepada kepimpinan Pas Kawasan yang baru dilantik.

    Walaubagaimana pun, Pas Titiwangsa telah memecahkan tradisi ini bila mana ada perwakilan mahu beberapa jawatan peringkat tertinggi parti dicadangkan untuk dipilih dalam mesyuarat Agung termasuklah bagi jawatan Presiden.

    Kedua-dua tindakan perwakilan ini tidak bercanggah dengan perlembagaan dimana perwakilan boleh mengunakan kuasa mereka untuk menentukan calon dalam mesyuarat agung atau sebulat suara memberikan mandat kepada Kepimpinan yang baru.

    Andaian bahawa ke semua kawasan ‘keberatan’ untuk menamakan calon bagi jawatan Presiden adalah tidak benar dan berniat jahat. Hakikatnya saya menegaskan bahawa pencalonan bagi jawatan berkenaan sedang diteliti oleh kawasan dan itu adalah tanggungjawab mereka untuk menamakan siapa pemimpin yang mereka suka. Tidak timbul isu menolak kepimpinan presiden sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti yang digembar-gemburkan oleh Malaysiakini.

    Dimaklumkan juga bahawa semua pencalonan dari kawasan diserahkan terus kepada Jawatankuasa Pemilihan diperingkat Pas Pusat tanpa perlu melalui Badan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan dan saya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan hanya menyelaraskan jadual mesyuarat Agung kawasan-kawasan sahaja.

    http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/Hedzer.jpgMedia jangan siarkan kenyataan yang tidak sahih

    Seterusnya saya ingin merujuk kepada perenggan berikut;

    “Mengenai hasrat PAS Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz bagi jawatan presiden, seorang pemimpinnya berkata, pihak mahu menjadi “pencetus” kerana terdapat banyak lagi kawasan yang mempunyai hasrat yang sama, tetapi masih “berdiam diri”.”

    Saya melihat bahawa ini adalah satu lagi tindakan tidak bertanggungjawab pihak media untuk mempengaruhi dan menganggu perjalanan mesyuarat agung di Wilayah Persekutuan. Berdasarkan etika dan tanggungjawab pengamal media, Malaysiakini tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan atau pandangan yang subjudis tanpa menyatakan siapakah yang mengeluarkan pandangan itu. (Gambar kanan - Hedzer)

    Dengan menggunakan pengenalan diri seperti ’seorang pemimpinnya’, ’sumber dalaman’, ‘pimpinan utama’ dan sebagainya tanpa menyatakan nama orang yang bertanggungjawab disebalik gembar gembur politik itu, saya melihat ianya hanyalah sekadar satu andaian dan propaganda media yang tidak beretika.

    Seharusnya kenyataan sedemikian tidak disiarkan kerana ianya bukanlah maklumat sahih dan boleh mendorong tanggapan negatif terhadap Pas Wilayah Persekutuan sekaligus menganggu perjalanan Mesyuarat Agung diperingkat Kawasan dan Dewan-dewan yang lain.

    Malaysiakini kena tarik balik, hormati Mursyidul Am Pas

    Saya menegaskan bahawa saya menolak artikel “PAS Wilayah tolak Hadi?” yang disiarkan oleh Malaysiakini dan meminta agar ianya ditarik balik kerana terlalu banyak manipulasi dan fakta-fakta yang tidak sahih digunakan dalam artikel berkenaan.

    Saya juga ingin memperingatkan kepada semua pihak agar menghormati kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berhubung isu pro-muzakarah dengan pro-Pakatan (atau “kumpulan Erdogan”). Diharapkan isu ini tidak dibangkitkan lagi sesuai dengan penegasan Mursyidul Am bahawa tidak wujud kumpulan-kumpulan seperti yang digemburkan media.

    Itu hanyalah persepsi sesetengah pihak yang bukan dilaungkan oleh majoriti ahli dan pimpinan. Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam Pas, begitu juga parti-parti politik lain.

    Wujudnya kumpulan pro-muzakarah dan pro-Pakatan (atau “kumpulan Erdogan”) hanyalah persepsi terpencil yang diperbesarkan media dan sebenarnya ia tidak wujud seperti yang dinyatakan oleh Mursyidul Am, yang ada hanyalah ahli Pas dan penyokong Pas sahaja.

    Diharapkan agar pihak media, terutamanya Malaysiakini berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membuat penulisan agar tidak mencetuskan spekulasi atau gossip semata-mata untuk menaikkan rating pembaca mereka. Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakkan undang-undang jika terdapat kenyataan saya yang dimanipulasi oleh media sehingga menyebabkan ahli-ahli Pas Wilayah Persekutuan sangsi akan kredibiliti saya sebagai salah seorang pimpinan yang diberi amanah.

    Hedzer Ibrahim
    Setiausaha
    Badan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan

    sumber : http://nikhassanazmi.blogspot.com/2009/04/pas-wilayah-tidak-tolak-hadi-kenyataan.html