Nik Aziz Fanatik/taksub kepada DSAI?
Semalam hari yang teramat sibuk, namun saya sempat untuk menjengah beberapa artikel. Artikel-artikel yang menarik perhatian saya berkisarkan YB Khalid Abd Samad yang memberi ulasan tentang PAS Terengganu.

Bagi saya, ia tidak dipersoalkan sama ada ia satu teguran yang berasas ataupun teguran yang tidak kena pada tempatnya. Ianya satu teguran yang membina.

Akan tetapi ada sedikit dalam kenyataan dalam itu yang tidak patut dikeluarkan. Ia boleh menghilangkan 'siqoh' terhadap pimpinan.

Dan, bagi saya, hal pertembungan pendapat Mustafa Ali dan Mursyidul Am PAS telah selesai apabila dua anak beranak itu bertentang mata dan melafazkan apa yang tersirat di dalam hati masing-masing.

Maka tidak manislah jika masih ada orang lagi mempersoal Mustafa Ali tentang tindakannya. Namun, kita tidak boleh menyekatnya, kerana itu kebebasan sesiapa sahaja yang ingin memberi pendapat.

Namun, saya kurang bersetuju dengan tindakan YB Khalid Abd Samad selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, kerana ia akan menimbulkan garis-garis luka yang telah ditutup dan dikapankan oleh Mursyidul Am.

Terengganu dan Selangor amat berbeda suasana dari segi sosialnya, geografinya dan apa-apa sahaja yang boleh dikaitkan. Akan tetapi, bagi pihak saya, jika ada pertembungan/perbezaan pendapat ia merupakan satu nikmat, di mana kita sebagai 'Orang Jemaah' haruslah mengambil sikap mencari satu titik persamaan, agar kita tidak bergaduh sesama sendiri.

Tidak salah berbeza pendapat, akan tetapi ambillah jalan bijak untuk menganalisa dan menyelesaikannya.

Satu artikel juga Anak Muda, Badan saja PAS - baju Keadilan mencuri perhatian saya. Di dalamnya banyak mengkritik Mursydul Am kerana terlalu taksub/fanatik kepada Dato Sri Anwar Ibrahim.

Saya hanya tersenyum melihat dan membacanya, sudah ada ahli PAS yang telah melenting akan isu Pakatan Rakyat ini.

Dalam masa yang sama, saya mencari jawapan adakah PAS telah menukar dasarnya apabila bekerjasama di dalam Pakatan Rakyat?

Jawapan soalan itu masih lagi 'TIDAK'. PAS dasarnya tetap ISLAM. Bagi saya jika PAS tidak memegang dasar tersebut lagi saya akan keluar dari PAS.

Di mana, kita harus memegang dasar sesuatu untuk berpegang dan janganlah lari dari tempo perjuangan sebenar. Jika kita lari, musuh kita merentakkan gendang, kita juga akan berjoget mengikut tempo musuh.

Apabila terjadinya masalah, adakah Mursydul Am taksub/fanatik dengan Dato Sri Anwar ini?

Kita kembali kepada keputusan muktamar, adakah tiada keputusan dikeluarkan pada muktamar mengenai kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat?

Jawapannya 'ADA', bagi saya Mursydul Am bukannya fanatik/taksub dengan DSAI. Akan tetapi ia menyanjung tinggi dan menghormati keputusan muktamar yang menetapkan PAS akan memperkasa Pakatan Rakyat.

Adakah perbuatan itu salah? Anda fikirkanlah sendiri.

Siapa fanatik kepada PKR? Ahli PAS? Jika anda duduk dalam PAS, bekerja di dalamnya anda dapat memastikan suara-suara dari 'grass root'/akar umbi terus bersama dalam PAS, ahli PAS ia tetap bersama dalam perjuangan PAS bukan simpati kepada DSAI.

Bagi saya, DSAI merupakan batu loncatan untuk meneruskan agenda PAS, jika tiada DSAI, PAS terus ada dan utuh dengan perjuangannya. Tanpa DSAI, PAS akan terus macam biasa, tidak akan mati, kerana PAS tidak langsung bergantung kepada DSAI. Hanya orang yang tidak yakin sepenuhnya dengan perjuangan PAS sahaja yang ragu-ragu dengan keputusan yang diambil oleh pimpinan.

Suka saya berkongsi jawapan dengan anda semua, apabila saya bertanyakan soalan ini kepada jentera PAS di peringkat cawangan, dun, kawasan di Kelantan saya bertemukan jawapan yang sungguh bermakna kepada diri ini. Soalannya

" Faktor yang mempengaruhi pengundi menyokong PAS supaya terus kekal mentadbir negeri Kelantan dengan kemenangan yang besar:

A) Kelemahan kepimpinan Pak Lah sebgai perdana menteri
B) Keyakinan kepada kepimpinan Tok Guru Nik Aziz
C) Pengaruh Dato Sri Anwar Ibrahim
D) Keberkesanan Program Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan
E) Keyakinan kepada perjuangan PAS
F) Persiapan awal jentera pilihanraya dan gerakkerja yang berterusan.

Rata-rata yang saya temubual dan meminta jawapan, dan jawapan yang banyak saya dengar ialah

E) Keyakinan kepada perjuangan PAS

Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana jawapan ini banyak diperdengar apabila PAS menang besar di Kelantan.

Oleh itu, selagi PAS masih selari dengan dasarnya iaitu ISLAM marilah kita bersatupadu, istiqomah dalam perjuangan dan menjunjung segala keputusan yang telah ditetapkan oleh PAS selagi mana ia tidak bertentangan dengan DASARnya dan yang paling utamanya ia selari dengan ISLAM itu sendiri.

Salam Perjuangan untuk semua.
PAS For All

Wallahualam.
0 Responses